NoVeL

RAmLee Awang MuRsyiD NoVeL


22.


1. Sebuah novel terbaru daripada novelis prolifik Alaf 21, Ramlee Awang Murshid. Merupakan sambungan dari kisah Laksamana Sunan pada novel-novel beliau sebelum ini.

2. Antara novel yang mendapat sambutan hangat di pesta buku 2011 yang berlangsung baru-baru ini di PWTC.

3. Apa lagi yang hendak pembaca katakan terhadap novel RAM ini? Mendebarkan, membuat pembaca tertanya-tanya, kejutan yang tak terduga, mainan masa yang kemas, plot yang mengujakan, watak yang pelbagai, penceritaan yang bersahaja, penuh drama.

4. Mungkin keterlaluan memuji pula dengarnya. Tapi begitulah yang dirasa apabila membaca Sutera Bidadari ini. Ya, barangkali ada juga jalan ceritanya yang telah dapat diduga, kejutan yang tak terkejut lagi, klise-klise yang biasa terdapat dalam novel RAM sebelum ini, tetapi semua itu hilang apabila saya, sebagai pembaca, dibawa masuk RAM ke dalam dunia imaginasinya yang sungguh tinggi.

5. Sutera Bidadari mengisahkan mengenai Laksamana Sunan yang mengembara ke Negeri Atas Angin untuk memburu Taghut. Wakil dari dunia kejahatan yang sering melakukan kedurjanaan. Pengembaraan Laksamana Sunan ini berlaku pada tahun 1511 dengan ditemani oleh beberapa orang rakannya yang setia.

6. Selain 1511, Sutera Bidadari juga membawa pembaca ke abad 21 dengan memaparkan kisah Saifullah yang diamanahkan untuk menjaga Keris Nanggroe dan Catatan Maryam yang telah disimpan sejak dari tahun 1511 lagi.

7. Kemahiran RAM bercerita sambil bermain dengan faktor masa sangat dikagumi. Beliau berkisah dalam dua dimensi yang berbeza, dengan latar dan juga watak yang berbeza, yang semuanya terikat pada watak utamanya, Laksamana Sunan, yang diuraikan pada pengakhiran novel.

8. Jika watak Laksamana Sunan pada tahun 1511 dilihatkan dalam pengembaraannya, watak Saifullah pula mewakili abad kini, yang memburu kejahatan dengan menjadikan Keris Nanggroe dan Catatan Maryam sebagai umpan menjejaki Vlad The Impaler.

9. Sebagai pembaca yang telah sering membaca novel-novel RAM, saya tentunya mengharapkan sesuatu yang lain dari novel-novel beliau sebelum ini. Sesuatu yang bersifat lebih mencabar daya kemampuan membaca pembaca. Dan, walaupun tidak keseluruhannya, Sutera Bidadari tetap menawarkan kelainan dan memerlukan daya tumpuan yang tidak sedikit untuk mengikuti setiap penceritaannya.

10. Sekalung tahniah buat RAM yang berjaya membuat imaginasi saya terbuai-buai melalui adegan-adegan yang dipaparkan. Bertanya-tanya, tiadakah penerbit-penerbit filem yang mahu membawa salah satu novel RAM ke layar perak?

11. Sedikit yang mengecewakan saya, apabila RAM sekali lagi menggantungkan novelnya di akhir bab. Tiada simpulan mati yang diberikan di dalam Sutera Bidadari ini melainkan potongan tali yang sengaja digantung, yang mana harus disambungkan semula buat memperkemaskan perjalanannya.

12. Ini seakan memberi andaian bahawa akan terdapat sambungan lagi untuk kisah Laksamana Sunan ini. Bukan tak setuju ia disambung lagi, tetapi saya berasakan sudah terlalu panjang dan lama kisah Sunan ini diceritakan, masih belum bertemu penamatnya. Cukuplah, jika berlebihan risau akan membosankan pula.

13. Novel ini boleh didapati dengan harga RM 22.00. Sudah dinaikkan sedikit harganya. Jika sebelum ini novel-novel RAM terbitan Alaf 21 rata-ratanya berharga RM 19.90 tetapi untuk Sutera Bidadari ini agak tinggi dari biasa sikit. Kenapa terdapat kenaikan, itu kena ditanya sendiri kepada Alaf 21.

14. Secara keseluruhan Sutera Bidadari ini menarik bagi saya. Kecuali penamatnya yang tidak ditamatkan setamat-tamatnya. Ditanya mengenai novel terbaru, RAM menjawab, "Fiksyen 302."


21.
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 556
Harga : RM19.90
Terbitan : Alaf 21 Publications
Cetakan 1 - 2011 

Rayyan Fantasi mengisahkan tentang kehidupan makhluk asing yang lari dari planetnya akibat peperangan dan mendarat di bumi tanpa disengajakan. Mereka kemudiannya telah dibantu oleh Pak Markum. Ibrahim dan Aiddin menjalani kehidupan sebagai manusia di bumi dan berteduh di rumah Pak Markum dan anak perempuannya, Supinah. Ibrahim kemudiannya berkahwin dengan Supinah. Perkahwinan Ibrahim dan Supinah tidak dikurniakan cahaya mata dan Aiddin kekal menjadi anak tunggal. Masa berganti masa Aiddin akhirnya memasuki universiti. Kehidupan mereka sekeluarga bahagia sehinggalah Aiddin disahkan menghidapi barah otak peringkat empat. Doktor mengandaikan Aiddin hanya boleh bertahan selama tiga bulan. Tetapi hakikatnya Aiddin sedang mengalami proses yang akan dialami setiap makhluk Yukka yang akan memasuki alam dewasa. Hakikat itu Ibrahim sahaja yang mengetahuinya. Dalam pada masa yang sama Ibrahim diburu oleh ‘musuh’nya!

Aiddin yang menganggap bahawa masanya sudah semakin suntuk ingin menawan Gunung Kinabalu. Ketika ekspidisi tersebut Aiddin telah hilang. Cerita menjadi semakin menarik apabila Aiddin sebenarnya diculik oleh Mika puteri dari planet Yukka. Kehilangan Aiddin menyebabkan ramai orang bersedih terutamanya ibunya, Supinah dan juga tunangnya, Feena. Sepanjang ‘kehilangan’ Aiddin banyak perkara telah berlaku.

Aiddin diculik kerana dia diperlukan untuk memimpin bangsa Rayyan dalam peperangan menawan Kota Yukka kembali yang telah ditawan oleh Sanggora yang juga bapa kepada Mika. Ketika ini pembaca di bawa menyusuri ke planet Yukka dan adegan peperangan di sana. Terjadi pelbagai adegan menarik dan ketika ini kita seolah-olah berada di sana!

Kemuncaknya, adakah Aiddin berjaya menawan Kota Yukka kembali? Mengapa Mika hendak menentang bapanya sendiri dengan membantu Aiddin? Siapa Rayyan dan Mij-Gillion? Adakah Feena akan terus setia dengan Aiddin? Adakah Aiddin akan kembali ke pangkuan keluarganya? Siapa yang memburu Ibrahim? Banyak persoalan yang perlu dirungkaikan dan hanya dengan mendapatkan RAYYAN FANTASI semua kekusutan dapat dileraikan.

Tunggu apa lagi dapatkan Rayyan Fantasi sekarang..=D

Komen saya :

Ramlee Awang Murshid (RAM) novelis yang sangat sinonim dengan gaya penulisan thriller. Dari gaya penulisannya yang sangat unik dan lain daripada yang lain tidak hairanlah beliau mendapat gelaran novelis thriller nombor 1 Malaysia. Sebagai salah seorang peminat tegar karyanya sudah pasti saya tidak ketinggalan memiliki novel Rayyan Fantasi (RF). Hampir separuh koleksi novelnya saya ada. RF adalah novel terbaru buat masa sekarang dan bakal menyusul Sutera Bidadari iaitu sambungan sekual Bagaikan Puteri yang juga menarik kisahnya.

Tak keterlaluan kalau saya katakan novel ni dah macam cerita alien.. hehe. Namapun novel bercirikan sains fiksyenkan. Watak Aiddin dan bapanya, Ibrahim merupakan makhluk asing dari planet Yukka. Pernah dengar nama planet ni? Tak pernahkan. RAM memang berimiginasi tinggi. Makhluk Yukka digambarkan fiziklnya seperti manusia tetapi memiliki perbezaan DNA dan juga udara penafasan. Kalau manusia di bumi memiliki darah jenis A, O, AB dan B tetapi makhluk Yukka memiliki molekul-molekul darah yang berlainan disebabkan faktor ini Ibrahim dan Supinah tidak memiliki anak kerana DNA makhluk Yukka sangat kompleks. Manusia di bumi bernafas melalui gas oksigen tetapi makhluk Yukka bernafas menggunakan gas karbon monoksida. Gas karbon monoksida merupakan racun pada manusia tapi ‘udara’ bagi makhluk Yukka! Sangat kreatif bukan cara pemikiran RAM.

Jarak bumi dan Planet Yukka mengambil masa berjuta-juta cahaya. Tak terbayang rasanya..huhu. Makhluk Yukka juga digambarkan memiliki kecanggihan teknologi yang sememangnya berlipat ganda lagi maju berbanding di bumi. Senjata peperangannya, kapal angkasa yang dipanggil kapsul dan juga bangunan yang digambarkan sangat canggih! Betul-betul dah rasa macam menggembara ke dalam filem Zathura! Bahkan lagi hebat rasanya.

Bagi peminat setia RAM pasti sudah boleh mengagak gaya penyampaiannya. Tiada urutan cerita atau kronologi. Pembaca akan dibawa merentasi masa tanpa mengira waktu, sekejap di tahun 2005 tiba-tiba kembali ke tahun 1995! Tapi jangan risau, RAM bijak membawa pembaca menyusuri masa mungkin pada mulanya kita akan terasa pelik tapi perincian masa yang diberi kemudiannya akan menguraikan kekusutan kita.

Karya-karya RAM juga mempunyai banyak watak tidak seperti novel biasa dan watak-watak yang digambarkan walau muncul sekejap tetapi meninggalkan kesan. Tetapi yang pasti nama watak dalam RF sememangnya unik. Contohnya, Ramos, Sanggora, Na’in, Janir, Mij-Gillion, Saher, Sulus, bangsa Aloi dan banyak lagi. Nak tau kena la baca. Hehe.

Penulisan RAM tidak pernah mengecewakan, RF yang digarap penuh unsur suspen dan debaran pasti membuatkan rasa ingin tahu dan minat pembaca untuk terus membaca bab demi bab sehingga ke penghujungnya!

Senang cakap.. bila dah mula pegang tu payah la nak letak balik. Rasa nak baca sampai habis terus!

SYeDi : Tak rugi beli.. tapi, rugi tak baca.. sebab ilmu bertambah.=D




20.
Tajuk buku : Cinta Sufi
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd
Tahun Terbitan : Cetakan 1, 2 – 2010
Halaman : 509
Harga : RM19.90/ RM22.90

‘Siri Laksamana Sunan’ kali ini tidak lagi memerlukan watak Haryani dan Dani dalam pengembaraannya yang panjang. Malah watak Catalina yang lebih segar dan menawan telah memaksa Laksamana Sunan menemani wanita berdarah penjajah itu mencari Maryam di Hulu Melaka.

Angkatan Portugis kembali meneruskan perjalanan ke Hulu Melaka dengan semangat yang berkobar-kobar. Atas tujuan apa sehingga menyebabkan pejuang-pejuang tanah air berhempas pulas mempertahankan Hulu Melaka? Apa yang istimewa di Hulu Melaka?

Cinta Sufi telah berjaya mengangkat dan meninggikan serta meluaskan penggunaan 99 Asmaul Husna, bukan sahaja sebagai zikir harian, bahkan sebagai senjata yang ampuh serta indah dalam menghalang kebatilan yang nyata dan mistik.

Selain itu, penulis juga telah menggunakan pelbagai surah di dalam al-Quran sebagai senjata dalam menghalang musuh mengikut situasi pengembaraan Laksamana Sunan seperti surah al-Jin, al-Insyirah, al-Falaq dan lain-lain lagi.

Apakah Laksamana Sunan masih diberi untaian nafas setelah kejadian di Hulu Melaka? Apa yang terjadi sehingga Keris Nanggroe menjadi rebutan. Siapakah yang terakhir memiliki Keris Nanggroe? Semua misteri akan terungkai dengan karya thriller Ramlee Awang Murshid ini yang nyata tidak menghampakan.

beli jgn x beli...aku pn x beli lagi....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...